Friday 9 March 2012

Dah lama sangat tak berkesempatan menjenguk blog ni. Entahlah...perasaan malas menguasai diri. Tapi pagi ini ingin rasanya mencoretkan sesuatu. Tanggal 5 Mac 2012 bersamaan 12 Rabiulakhir 1433H mencalit titik kesedihan dalam hati-hati kami. Mak pergi menemui PENCIPTAnya. Mak dijemput pada jam 12.30 tgh malam. Mak selamat disemadikan jam 11.30 pagi. Aku redha dengan pemergian mak tapi air mata tetap merembes.
      Fikiran terasa kosong. Biarlah aku menoktahkan dulu bicara ini.

Monday 30 January 2012

Penghujung Januari 2012

Assalamualaikum wbrt...salam sejahtera
Hari ni 31hb Jan 2012, hari terakhir dalam bulan ini. Lamanya tidak menulis di blog ni!!! Kalau hari ni tidak kutulis blog ni, maknanya tiada sebarang 'posting' untuk Januari. Kekangan masa yang menyebabkan tinta terhenti seketika. Walaupun baru bulan Januari tetapi banyak peristiwa yang berlaku. Bolehlah dianggap bulan yang sibuk.
     Setelah lama tidak mengunjungi Kelinik Kesihatan (KK - bukan KK Home Decor), bulan ini ia kukunjungi dengan semangat dan azam untuk memberi perhatian yang serius terhadap kesihatan. Jadi setiap seminggu (KK) menjadi tumpuanku sehingga hujung Februari yang akan datang sebelum temujanji dengan doktor. Lawatan sosialku ke KK biasanya disambut oleh misi-misi yang peramah. Selain mengambil tekanan darah (BP), pemeriksaan darah juga dilakukan. Semuanya ditemani oleh hubby tersayang yang kadang2 terpaksa masuk kerja lewat disebabkan oleh perkara ini. Alhamdulillah kerana mendapat seorang suami yang sangat mengambil berat. Tapi... jangan tak tau, hubbyku juga turut menjalani pemeriksaan yang sama cuma tidaklah sekerap aku.... :)


     Tahun ini juga aku diberi tanggungjawab untuk menjadi Guru Kelas 2 Kreatif dengan jumlah pelajar seramai 40 orang. Biasalah awal tahun agak sibuk dengan pengurusan kelas yang memerlukan guru kelas mengutip yuran PIBG, tempahan tanda nama, mengisi borang SPBT dan sebagainya. Pelajar sekarang sangat bertuah kerana semuanya mendapat kemudahan pinjaman buku teks. Begitu juga dengan pendaftaran ko kurikulum untuk pelajar-pelajar ini bermula dengan Rumah Sukan, Kelab atau Persatuan, Unit Beruniform dan Permainan. Latihan untuk rumah sukan telah pun bermula pada minggu ini kerana larian merentas desa akan diadakan pada bulan Mac. Bulan Januari ini juga banyak cuti sempena sambutan Tahun baru Cina. Jadi walaupun sibuk, masih ada ruang untuk melapangkan minda yang tertekan.
     Semoga selepas ini blog ini tidak akan kubiarkan sepi lama sangat...